Tuesday, December 9, 2008

surat terbuka burung Nuri kepada PM

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama,
Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Putrajaya,
MALAYSIA

SURAT TERBUKA BURUNG NURI KEPADA PERDANA MENTERI


Terlebih saya bagi pihak ribuan burung Nuri di negara ini ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri kerana sekali lagi bertindak menerajui sebuah kementerian yang mempunyai peranan paling penting dalam memartabatkan kedaulatan negara ini iaitu Kementerian Pertahanan.

2. Atas dasar itu Datuk Seri, izinkan kami menyampaikan keluh kesah rakan-rakan kami yang kini bekerja dengan Tentera Udara Diraja Malaysia iaitu helikopter Nuri.

3. Walaupun secara fizikalnya mereka tidaklah sama seperti kami yang berbulu cantik dan berparuh ini, namun disebabkan mereka dinamakan sempena nama kami maka secara tidak langsung kami anggap mereka juga adalah sanak-saudara kami sendiri. Bak kata pepatah, cubit sayap kiri, sayap kanan kami pun terasa.

4. Datuk Seri, kami sangat sedih kerana pegawai tentera biasa hanya perlu berkhidmat dalam tempoh 20 hingga 30 tahun dan layak untuk pencen serta menikmati ganjaran yang sepatutnya, tetapi rakan-rakan kami di TUDM masih ‘dipaksa’ berkhidmat walaupun sudah bertugas lebih 40 tahun.

5. Memang betul, rakan-rakan kami itu telah mendapat banyak organ dalaman yang baru tetapi badan dan tubuh mereka tetap sama seperti mana waktu mereka mula-mula berkhidmat dalam TUDM dulu.

6. Terus-terang, kami tak sanggup lagi melihat rakan kami dihina setiap kali mereka terlibat dalam nahas sedangkan manusia seperti Datuk Seri merupakan penyumbang utama kepada kematian mereka. Ini terbukti kerana majoriti laporan nahas menunjukkan ia berlaku atas faktor kesilapan manusia.

7. Ketika Datuk Seri Najib menjadi Menteri Pertahanan dulu, kami ada mendengar rakan-rakan kami di TUDM akan dipencenkan bagi membolehkan helikopter baru mengambil alih peranan mereka, malangnya semalam Datuk Seri memaklumkan yang perkara berkenaan tidak dapat dilaksanakan atas faktor kewangan.

8. Datuk Seri, memang betul helikoter baru itu lebih mahal daripada helikopter jenis sama yang digunakan oleh Brazil. Ini disebabkan sistem radar dan persenjataan canggih yang kita hendak gunakan.

9. Justeru itu, kami berpendapat tak payahlah kita tambah senjata canggih dan pelbagai peralatan moden dekat helikopter baru ini buat sementara waktu, yang penting beli dulu apa yang ada dan bila ada duit kita tambahlah apa yang patut.

10. Kami bukan apa Datuk Seri, apa Datuk Seri nak jawab dekat lebih 20 juta rakyat Malaysia sekiranya selepas ini ramai lagi rakan kami yang terhempas? Tidakkah Datuk Seri akan dihantui rasa bersalah seandainya ditakdirkan ianya berlaku lagi?

11. Sekarang saya difahamkan yang panglima-panglima tentera Datuk Seri sendiri pun dah mula tak mahu naik Nuri, mereka katanya lebih sanggup naik ‘staff car’ daripada ikut ‘keranda terbang’ itu. Dan maaf cakap, saya sendiri tak pernah lihat Datuk Seri naik helikopter Nuri sejak 10 tahun lalu, kenapa, takutke?

12. Datuk Seri, kami faham Datuk Seri lebih minat bermain dengan ikan koi daripada bermain dengan burung seperti kami, tetapi Datuk Seri jangan lupa, Datuk Seri sendiri pun menamakan anak Datuk Seri dengan nama Nori. Biarpun ejaan lari sikit, tapi bunyinya tetap sama tau!

13. Akhir kata kami nak sangat Datuk Seri pertimbangkan pembatalan pembelian helikopter baru itu, kami tak kisah apa jenis pun janji Nuri yang ada sekarang mesti ditamatkan perkhidmatan mereka. Kesian mereka Datuk Seri, dah uzur benar nampaknya rakan-rakan kami itu.

14. Maafkan kami sekiranya surat ini menganggu kerja-kerja Datuk Seri. Sebagai mewakili rakan-rakan Nuri yang lain, kami berharap sangat agar rayuan kami dipertimbang dengan sewajarnya oleh pihak Datuk Seri

15. Ingat, jangan sesekali uji kejantanan kami, ini kerana walaupun Datuk Seri pun ada ‘burung’, tetapi kami telah membuktikan yang bulu kami lebih cantik dan kami lebih petah bercakap berbanding burung Datuk Seri yang hanya tahu mematuk!

Sekian.

No comments: