Tuesday, December 9, 2008

seorang pahlawan bernama abah

abah, saya masih ingat kenangan di waktu abah mengucup dahi saya sebelum abah menaiki trak menuju ke perbatasan

waktu ibu abah baru saja pulang dari kem dengan peluh masih membasahi dahi, namun tatkala emak baru membancuh Teh O, air kegemaran abah, tiba-tiba abah dipanggil semula untuk mengenakan celoreng dan masuk semula ke dalam hutan. Katanya komunis mengamuk lagi di hutan Grik.

Saya masih ingat menatap wajah sayu emak yang terpaksa melepaskan suami tercintanya ke medan perang, tanpa sempat bermanja mesra. Airmata mata emak kemudiannya menitik satu persatu apabila saya yang masih kecil itu meraung tidak mahu melepaskan abah.

Abah ternyata tabah. Di mukanya tidak terpancar sedikit pun riak penyesalan. Airmata kami sebaliknya adalah api yang membakar semangatnya untuk terus berjuang demi agama dan tanah airnya.

Berminggu lamanya selepas itu langsung tiada khabar berita mengenai abah. Tiba-tiba suatu hari pegawai pemerintah kem yang berpangkat Leftenan Kolonel memaklumkan yang seorang anggotanya gugur sewaktu bertempur.

Saya masih teringat yang emak hampir pengsan mendengar khabar duka itu. Dalam hatinya mengatakan abahlah orangnya. Ditambah lagi bila secawan teh tiba-tiba pecah sewaktu dia sedang mengemas di dapur.

Dukanya bagaimanapun tidak lama bila abah kemudian tiba-tiba muncul di pintu rumah setelah hampir sebulan berjuang di hutan belantara. Kami adik beradik memeluk erat tubuh abah walaupun ketika itu tubuhnya berbau hamis, mukanya berminyak dan kakinya masih luka digigit pacat.

Bagi kami bau hamis abah ketika itu adalah haruman syurga, muka berminyak abah ketika itu adalah sinar keimanan dan luka abah itu adalah lelehan darah syuhada

Kini lebih 10 tahun abah meninggalkan saya dan emak. Walaupun ajalnya berakhir di katil wad neurologi dan bukan di hutan Grik, namun dia tetap pahlawan buat kami.

Abah mungkin tiada pangkat dan tiada pingat, tetapi semangat dan keberanian abah tidak mungkin terukur dek pangkat di bahu atau dek kepujian yang bertalu.

Abah, hari ini adalah Hari Pahlawan. Semasa hayat abah, inilah hari yang paling ditunggu abah. Abah akan bangun seawal pagi, bersolat dan kemudiannya duduk di depan tv menantikan siaran langsung upacara di Tugu Negara.

Maaf abah, itu semua sudah berlalu. Negara yang abah perjuangkan ini semakin haru dek musuh yang tak nampak senjatanya di tangan, tapi hati dan jiwanya berlumpur kehinaan.

Negara yang abah perjuangkan ini semakin dikotori mereka yang lahap kuasa dan tamak harta.

Abah bersemadilah dengan tenang, abah mungkin tiada ‘apa-apa’ di mata mereka, tetapi abah tetap wira di mata kami.

Kasih sayang dan ingatan terhadap abah tetap utuh, seutuh cinta abah kepada agama dan tanah airnya.

SAK: Al-Fatihah buat Pegawai Waran II (B), Abd. Kadir Manaf dan mereka yang terkorban dalam mempertahankan bumi Malaysia yang tercinta. Selamat Hari Pahlawan.

No comments: